
Dalam kenyataan yang dibacakan peguamnya, Datuk Harpal Singh Grewal hari ini, Najib turut mengkritik polis melakukan serbuan dengan “semberono dan tidak bertanggungjawab”.
“Ini ditunjukkan dengan cara anggota polis mengambil makanan dan coklat dalam peti sejuk,” katanya sambil menambah publisiti berhubung rampasan barang mereka memalukan keluarganya.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.
Hasil pemeriksaan itu menyaksikan polis merampas 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga.
Selasa lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menjangka pertuduhan akan dibuat ke atas Najib, susulan penyiasatan bekas presiden Umno itu didakwa menyeleweng ratusan juta dolar dana 1MDB.
5 lori, 284 kotak beg tangan, 72 beg wang tunai, dan 1 peti besi belum buka