Laporan: Sirul mahu pengampunan untuk ‘dedah semua’

Laporan: Sirul mahu pengampunan untuk ‘dedah semua’

Sirul Azhar Umar yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia, sedia pulang ke Malaysia.

Free Malaysia Today
Sirul Azhar Umar dilaporkan meminta pengampunan penuh untuk menterbalikkan sabitannya atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.
PETALING JAYA:
Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dilaporkan meminta pengampunan penuh sebagai syarat pulang ke Malaysia dan mendedahkan kisahnya kepada kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dalam temubual dengan Malaysiakini dari Australia, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemenangan mereka dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Katanya, beliau bersedia membantu kerajaan baru itu dengan “mendedahkan peristiwa sebenar dengan syarat kerajaan memberi (saya) pengampunan penuh”.

Malaysiakini tidak melaporkan bagaimana temubual itu dijalankan.

Sirul melarikan diri ke Australia selepas beliau dan bekas ketua inspektor, Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya di sebuah hutan di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006 dengan badannya diletupkan menggunakan bahan peledak.

Sirul ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Kes pembunuhan itu dikaitkan dengan pembelian 2 kapal selam jenis Scorpene buatan Perancis dan dakwaan penerimaan komisen oleh rakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan menteri pertahanan ketika itu.

Sirul, bekas pegawai polis yang ditugaskan menjadi pengiring VIP, mengaku pernah berkhidmat di bawah Dr Mahathir dan Anwar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang mendesak diadakan perbicaraan baru mengenai kes tersebut minggu ini.

Sirul sebelum ini berkata, saksi utama kes itu, DSP Musa Safri, bekas pengiring Najib, tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Semalam, presiden Mongolia mendesak kerajaan baru Malaysia membuka semula kes itu.

Seorang peguam jenayah kanan mencadangkan 2 bekas polis itu dipanggil sebagai saksi kerajaan, sementara pemimpin DAP, Ramkarpal Singh menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi mencari kebenaran di sebalik pembunuhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.