
Beliau berkata, kestabilan kerajaan negeri dan kepercayaan rakyat Selangor antara faktor yang akan dipertimbangkannya sama ada kekal sebagai menteri besar Selangor atau menerima pelantikan sebagai menteri.
“Saya akan buat pengumuman rasmi kerana saya perlu menghadap Sultan Selangor terlebih dahulu. Jika saya ke pejabat (perdana menteri) minggu depan, kita akan kaji semula projek mega ketika pentadbiran Najib.
“Semuanya kita akan kaji untuk beri kepentingan kepada rakyat seperti air, perumahan. Ini adalah isu yang pada saya sangat penting,” katanya selepas menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hampir sejam di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Antara projek mega yang akan dikaji semula termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
“Kita mahu lihat sama ada proses itu telus atau tidak. Tugas saya bersama pasukan adalah untuk melihat itu semula.”
Azmin turut bercadang memperluaskan projek perumahan di Selangor ke seluruh negara serta berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempermudahkan prosedur pinjaman perumahan.
“Kita boleh berbincang untuk buat rumah, tetapi bagaimana hendak dapatkan pinjaman?”
Azmin berkata, Dr Mahathir mahu beliau membantu merancang dasar dan strategi untuk memperkukuh dan membangunkan ekonomi negara.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet, termasuk menamakan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi.