
Polis Thai yang mengadakan operasi semalam mendapati beberapa bas ekspres berulang-alik bagi laluan Bangkok-Hatyai diubah suai dengan mewujudkan ruang rahsia untuk menempatkan pendatang asing tanpa izin Rohingya bagi perjalanan ke selatan.
“Kami dapati bas ini mempunyai ruang khas untuk menyembunyikan etnik Rohingya untuk diperdagangkan ke wilayah selatan.
“(Sebaik tiba di selatan) Mereka akan menyerahkan etnik Rohingya ini kepada ejen yang akan menyeludup mereka ke Malaysia,” kata Timbalan Ketua Polis Pelancongan, Mej Jen Surachet Hakpan selepas mengetuai operasi itu di sini.
Operasi itu turut disertai pegawai Jabatan Pengangkutan Darat yang mengesahkan kewujudan bas khas diubah suai itu.
Menurut Surachet, polis sudah mengenal pasti identiti lelaki asing yang bertindak sebagai dalang untuk memperdagangkan etnik Rohingya ke selatan Thailand menggunakan bas ekspres dan sedang menjejakinya.
Katanya, pihak berkuasa turut mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek yang disyaki dalang itu dan kira-kira 30 pemandu bas disiasat atas kemungkinan bersubahat dalam jenayah itu.
Sekurang-kurangnya 6 bas disyaki mewujudkan ruang khas itu yang tidak memenuhi peraturan standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Darat, kata Surachet.
Polis membongkar taktik terkini menggunakan bas ekspres untuk menyeludup Rohingya ke selatan Thailand, susulan kes terbaharu di daerah Chaiya, di wilayah Surat Thani.
Dalam kes itu, beberapa pendatang asing tanpa izin Rohingya didapati bersembunyi di dalam ruang khas bas ekspres itu dan mereka ditahan sebelum sempat tiba di wilayah selatan.
Selain bas, pihak berkuasa Thai turut menahan pendatang asing tanpa izin Rohingya yang menaiki kereta api menghala ke selatan, dan pegawai percaya mereka berusaha datang ke Malaysia.