Pengusaha hotel gesa PH mansuh cukai pelancongan

Pengusaha hotel gesa PH mansuh cukai pelancongan

Persatuan hotel berkata, cukai pelancongan lebih memudaratkan berbanding GST.

Free Malaysia Today
Persatuan hotel berkata, cukai pelancongan mempunyai impak lebih besar ke atas industri itu kerana pelancong asing akan memilih negara lain di rantau ini. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pengusaha hotel mengalu-alukan 0% cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta mahu kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan cukai pelancongan juga.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), PK Leong berkata GST menjejaskan kuasa perbelanjaan orang ramai.

“Mereka perlu mengurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti melancong. Semoga mereka kini mempunyai wang lebih untuk dibelanjakan.

“Tetapi, cukai pelancongan lebih memudaratkan kami kerana ia bermakna kos tambahan untuk pelancong asing,” katanya kepada FMT.

Di bawah cukai pelancongan yang berkuat kuasa 1 Ogos 2017, penduduk tetap dan rakyat Malaysia dikecualikan daripada cukai itu, tetapi pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan akan dikenakan caj RM10 bagi setiap bilik 1 malam.

Leong berkata, ini menyebabkan pelancong asing memilih ke negara lain di rantau ini, khasnya mereka yang melancong dengan bajet terhad.

“Bayangkan jika kadar untuk hotel bajet ialah RM100 satu malam dan cukai pelancongan RM10 ialah tambahan 10% setiap malam.”

Katanya, kajian MyBHA mendapati purata penginapan pelancong asing di hotel bajet merosot daripada 60% sebelum pelaksanaan cukai pelancongan kepada 30%.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee berkata, buat masa ini, sukar menentukan bagaimana peralihan GST kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menjejaskan pengusaha hotel.

“Tetapi, saya tidak rasa ia akan menjadi satu masalah.

“Masalahnya lebih kepada perubahan perisian. Sebelum ini, kami mengubah perisian sejajar dengan GST, ia adalah mahal.

“Bagi kami, ia tidak perlu dan wujud elemen tidak adil kepada pelancong yang tinggal di Airbnb atau hotel haram yang tidak dikenakan cukai itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.