
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad jaminan itu diberikan Majlis Penasihat Kerajaan yang menemuinya hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas jika kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah campur tangan dalam urusan FGV.
“Saya nak sokong dengan kerajaan baru ini yang memberi kebebasan kepada GLC untuk bertindak tanpa campur tangan politik dan membiarkan ia diputuskan golongan profesional.
“Nak kata campur tangan (kerajaan lama) saya tidak mahu cakap sekarang. Harapan (ialah) tidak ada campur tangan politik,” katanya selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham.
Hasil pertemuan hari ini, Zakaria menerima cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi FGV daripada Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Prof Jomo Kwame Sundaram serta Tan Sri Oh Siew Nam yang mewakili Tan Sri Robert Kuok.
Tetapi, beliau enggan mendedahkan cadangan penambahbaikan itu kerana ia perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengarah FGV terlebih dahulu.
Katanya, Majlis Penasihat Kerajaan turut bertanya mengenai pembelian saham PT Eagle High Plantantions Indonesia.
“Saya memberi penjelasan mengenai pembelian aset, kenapa ia dibeli serta latar belakang pembelian aset itu.”
Majlis Penasihat Kerajaan dijadualkan menemui beberapa individu berkaitan Felda, termasuk aktivis dan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan mengkaji semula dan mungkin menukar pelantikan ahli politik dalam Lembaga Pengarah GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Daim tidak mahu syarikat GLC dan GLIC mendapat campur tangan tidak wajar daripada ahli politik mahupun pihak luar.
Pada 4 November 2017, Jomo dilaporkan berkata, skandal Felda lebih besar daripada skandal 1MDB kerana ia memberi kesan kepada lebih ramai orang.