Azmin menteri ekonomi dan menteri besar Selangor?

Azmin menteri ekonomi dan menteri besar Selangor?

Azmin menyertai 15 nama menteri persekutuan yang diumumkan hari ini.

PETALING JAYA:
Senarai menteri persekutuan baru yang diterima dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) menunjukkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinamakan menteri hal ehwal ekonomi.

Azmin, 54, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor pada 11 Mei lalu.

Nama Azmin disenaraikan bersama seorang lagi wakil rakyat dari PKR, Ketua Wanita Datuk Zuraida Kamaruddin, yang dinamakan sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Dari PPBM, PMO mengumumkan pensyarah Maszlee Malik dinamakan sebagai menteri pendidikan, selepas perdana menteri melepaskan portfolio itu kerana teguran daripada Pakatan Harapan.

Ketua Wanita Rina Harun pula dinamakan untuk portfolio pembangunan luar bandar.

Dari DAP, PMO mengumumkan Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo dinamakan sebagai menteri komunikasi dan multimedia, Naib Pengerusi M Kula Segaran seabgai menteri tenaga manusia, dan Setiausaha Organisasi Anthony Loke Siew Fook sebagai menteri pengangkutan.

Dari Amanah pula, PMO mengumumkan Timbalan Presiden Salahddin Ayub dinamakan sebagai menteri pertanian dan industri asas tani, dan Pengarah Strategi Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan.

“Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada nama-nama yang dicadangkan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah rahsia sebagai menteri persekutuan akan diadakan pada Isnin di Istana Negara,” kata kenyataan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu dan menyerahkan senarai menteri untuk persetujuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 5.00 petang tadi.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah memegang portfolio wanita dan pembangunan keluarga, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ke portfolio kewangan, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu menjadi menteri pertahanan.

Pengumuman hari ini mengumumkan 15 daripada jangkaan 25 nama dalam Kabinet Dr Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.