
S Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh ke-6 berkata, dia diberitahu bekas tertuduh kedua itu, G Gunasekaran atau lebih dikenalinya sebagai “Jay”, tong itu akan digunakan sebagai penanda parkir di restoran yang akan dibuka Jay.
Katanya, Jay mengisi tong itu di hadapan sebuah premis kedai yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan restoran dan ketika itu dia dan seorang lagi tertuduh yang merupakan bapa saudaranya, S Ravi Chandaran, juga berada di kedai tersebut.
Nimalan berkata ketika itu dia dan Ravi Chandaran sedang berehat di kedai dan selepas setengah jam, “Jay” yang memandu kereta proton Perdana V6 pulang ke kedai dan diikuti sebuah lori simen.
“Selepas itu lori itu menuang sedikit simen di hadapan kedai dan saya nampak Jay pergi membayar kepada pemandu lori itu sebelum lori tersebut beredar,” katanya ketika pemeriksaan utama peguam V Rajehgopal yang mewakili 5 daripada 6 tertuduh pada perbicaraan kes pembunuhan itu.
Saksi pembelaan ke-5 pada prosiding hari ke-10 itu bagaimanapun tidak memberitahu sama ada tong tersebut tong sama yang digunakan untuk mengisi mayat Kevin Morais.
Nimalan berkata ketika itu, Jay mengarahkannya meratakan simen di hadapan kedai tersebut untuk menutup lopak air manakala Ravi Chandaran mengisi simen ke dalam sebuah baldi kecil sebelum menyerahkan kepada Jay untuk diisi ke dalam tong tersebut.
Kepada soalan Rajehgopal sama ada Nimalan melihat ke dalam tong tersebut ketika Jay mengisi simen, Nimalan menjawab tidak, kerana dia hanya ditugaskan untuk meratakan simen di hadapan kedai.
Nimalan berkata selepas tong itu dipenuhi simen, Jay kemudian menyuruh Ravi Chandaran mengecat tong tersebut dengan warna merah dan putih.
Pada prosiding itu, 5 tertuduh, R Dinishwaran, 26, A K Thinesh Kumar, 25, M Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili peguam Rajehgopal manakala seorang lagi, doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N Sivananthan.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Gunasekaran yang merupakan bekas tertuduh ke-2, dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara 2 tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan Kevin Morais.
Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 September 2015.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.