
Peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili 1MDB memberitahu wartawan, firma guaman itu, Tan Hock Chuan & Co memohon menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB.
“Mahkamah membenarkan permohonan kami… pada masa ini 1MDB tidak mempunyai peguam, tetapi kami akan memaklumkan syarikat berkenaan,” katanya kepada wartawan selepas bertemu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam kamar hari ini.
Sementara itu peguam Damien Chan mewakili Khairuddin berkata mahkamah menangguhkan pendengaran yang dipohon defendan, Rosmah, Low Taek Jho atau Jho Lo dan 1MDB untuk membatalkan saman Khairuddin, ke 21 Jun untuk pengurusan kes bagi pihak terlibat mengemas kini status masing-masing,
Pada hari ini mahkamah dijadualkan mendengar permohonan daripada 3 defendan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Khairuddin terhadap mereka.
Defendan-defendan memfailkan permohonan itu pada 7 September 2017, dengan alasan Khairudin tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman terhadap mereka.
Khairuddin memfailkan saman pada 16 Ogos 2017 dan mendakwa antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low menerusi ejennya membeli set barang kemas itu daripada peniaga barang kemas, New York Lorraine dengan nilai AS$27.3 juta. Beliau mendakwa wang yang digunakan diambil daripada 1MDB.
Khairuddin seterusnya mendakwa barang kemas berkenaan, dalam bentuk berlian berwarna merah jambu bernilai AS$23 juta dan rantai leher bernilai AS$4.3 juta, diterima Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.
Oleh demikian, beliau memohon mendapatkan perintah mahkamah agar Rosmah mengembalikan barang kemas berkenaan kepada 1MDB dan Jho Low membayar jumlah wang yang didakwa diambil daripada 1MDB, di samping ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.