Dunia harap Malaysia jadi negara Islam contoh di bawah PH, kata akademik AS

Dunia harap Malaysia jadi negara Islam contoh di bawah PH, kata akademik AS

Pakar pengajian Timur Tengah itu berkata umat Islam seluruh dunia kini memandang Malaysia dengan penuh harapan susulan kekalahan Najib yang disifatkan penyokong Trump.

Free Malaysia Today
Nader Hashemi berkata, rakyat Malaysia perlu menuntut akauntibiliti daripada semua ahli politik, termasuk Dr Mahathir, terhadap janji pilihan raya mereka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang cendekiawan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu sebagai sumber inspirasi kepada umat Islam seluruh dunia yang percayakan keserasian Islam dengan demokrasi.

Nader Hashemi, ketua Pusat Pengajian Timur Tengah di University Denver berkata, kerajaan baharu itu dilihat sebagai kerajaan yang menghormati hak asasi manusia dan tidak akan berkompromi dalam memerangi rasuah, tidak seperti pentadbiran sebelum ini.

“Donald Trump, keluarga diraja Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah penyokong kuat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

“Untuk melihatnya dikalahkan oleh kumpulan yang berkempen atas platform hak asasi manusia, anti-rasuah dan pemulihan demokrasi adalah sumber inspirasi terbesar pada saat umat Islam yang memperjuangkan demokrasi menempuh tempoh kegelapan, terutama mereka di Timur Tengah yang menderita di bawah rejim autokratik yang memerintah.”

Beliau berkata, kemenangan PH muncul di tengah-tengah kebangkitan autoritarianisme di seluruh dunia dan kemerosotan demokrasi.

“Di dunia Islam, kita berdepan dengan hari-hari gelap yang dicirikan dengan kepasrahan, kekalahan dan kecamuk menggila. Lihatlah apa yang sedang berlaku kepada rakyat Palestin, Rohingya, rakyat Syria, Yaman, Mesir dan banyak lagi.”

Nader mengingatkan tahun 1990-an semasa beliau tinggal di Kanada dan terlibat dengan beberapa kumpulan pelajar Islam.

“Berita dari Malaysia yang kita dengar adalah demokrasi yang muncul dengan ekonomi yang kuat, yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, 2 pemimpin politik Islam yang percaya kepada keserasian antara Islam serta demokrasi dan berusaha menunjukkan komitmen itu dalam dasar yang dilaksanakan.”

Beliau berkata usaha itu menjadi inspirasi kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Ingat, ini sebelum kejatuhan Muhammad Suharto di Indonesia, sebelum kebangkitan Mohammad Khatami di Iran, sebelum munculnya Parti AK di Turki dan lebih awal daripada Arab Spring.”

Beliau berkata umat Islam di negara Barat pada masa itu juga berdepan dengan suara lantang dan berpengaruh yang mahu menampakkan seolah-olah Islam tidak serasi dengan kemodenan.

“Pada masa itu, Samuel Huntington menerbitkan tesisnya yang terkenal, Clash of Civilizations dan penulis terkenal, Bernard Lewis menerbitkan buku mengenai Islam dan umat Islam yang cuba menggambarkan mereka sebagai ancaman kepada kemanusiaan.

“Malaysia pada masa itu memberi kami harapan.

“Malangnya, selepas berlakunya pertelingkahan antara Dr Mahathir dan Anwar, Malaysia beralih arah menuju autoritarianisme dan harapan itu menghilang.

“Tetapi selepas pengalaman pahit pemerintahan Najib dan keputusan pilihan raya baru-baru ini, ramai umat Islam sekali lagi berharap Malaysia mungkin menjadi sumber inspirasi untuk pembaharuan dan demokrasi Islam.”

Beliau berkata penting bagi rakyat Malaysia sentiasa ingat untuk tidak membiarkan politik kepada ahli politik semata-mata.

“Masyarakat sivil Malaysia perlu menuntut akauntibiliti daripada semua ahli politik, termasuk Dr Mahathir terhadap janji pilihan raya mereka.

“Terdapat 2 Dr Mahathir: seorang yang autokratik dan satu lagi demokratik. Menjadi tanggungjawab, antara lain media, intelektual, parti politik, kumpulan pelajar dan pembaharu Islam, memastikan beliau mentadbir secara demokratik dan memenuhi janjinya.

Beliau berkata Dr Mahathir, dengan dorongan yang tepat, boleh menjadi individu yang menghidupkan semula obor Islam.

“Saya fikir Dr Mahathir mempunyai potensi memajukan obor pembaharuan Islam, tetapi dia perlu digalakkan untuk berbuat demikian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.