Rafidah: Kerajaan baru perlu masa laksana perubahan

Rafidah: Kerajaan baru perlu masa laksana perubahan

Rafidah berkata apa yang boleh kita lakukan pada masa ini adalah membantu Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada pada landasan betul.

Free Malaysia Today
Tan Sri Rafidah Aziz berkata formula GST tidak betul dan itu sebabnya rakyat memberikan reaksi negatif. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan baru memerlukan masa yang cukup bagi merangka semula strategi dan melaksanakan langkah-langkah terhadap dasar, termasuk menghapuskan tol serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz

“Sekurang-kurangnya, apa yang boleh kita lakukan pada masa ini adalah membantu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada pada landasan yang betul kerana apa yang dilaksanakan ini adalah antara beberapa langkah pertama, dan landasan ini sangat panjang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini.

Rafidah yang pada masa ini pengerusi AirAsia X Bhd berkata, Dr Mahathir serta sekumpulan pakar termasuk beliau, yang bertindak memberikan nasihat dan input mengenai langkah strategik ke hadapan, akan menghasilkannya (sesuatu) dalam masa terdekat.

“Perancangan ini adalah segera, (begitu juga) dalam konteks jangka sederhana seperti yang berkaitan GST. Ia tidak mungkin berlaku esok

“Kita menunggu selama 10 tahun untuk ini (kerajaan baharu) berlaku dan anda mahukan ia (pemansuhan) esok, realistiklah.

“Anda tidak boleh membetulkan sesuatu yang sudah rosak dalam masa dua hari, atau 2 bulan,” tegasnya.

Beliau menyatakan, formula GST tidak betul dan itu sebabnya mengapa rakyat memberikan reaksi negatif, hampir seragam.

Justeru, kerajaan perlu melihat semula formula itu.

Cukai nilai tambah (VAT) serta cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) (yang diperkenalkan bertahun lalu) tidak membabitkan pengiraan 2 kali cukai berkenaan kerana rakyat hanya membayar caj minimum.

“Kita perlu melaksanakan formula di mana rakyat tidak mempunyai masalah dengannya,” tegas Rafidah.

Jelasnya, rakyat Malaysia tidak membayar 6% pro rata sewaktu tempoh VAT dan SST, juga tiada siapa yang ambil kisah pada masa itu, justeru kerajaan perlu kembali kepada kaedah itu.

Bagaimanapun katanya, beberapa tahun lepas apabila GST dilaksanakan, sebahagian besar perolehan kerajaan pergi kepada perkara-perkara tidak perlu seperti perbelanjaan yang tidak produktif dan subsidi yang tidak memberikan nilai tambah, sebaliknya melembutkan hati rakyat untuk mendapatkan undi mereka.

Beliau mengulangi, perubahan polisi perlu dilakukan dengan berhati-hati dan adalah satu kesilapan untuk mengumumkan dan menghasilkan semula polisi tanpa kajian mendalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.