Nik Amar dilantik timbalan menteri besar Kelantan

Nik Amar dilantik timbalan menteri besar Kelantan

Pada majlis itu juga seramai 9 wakil rakyat mengangkat sumpah sebagai exco negeri, 5 yang dilantik semula dan 4 muka baru.

Free Malaysia Today
Gambar facebook
KOTA BHARU:
Wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai timbalan menteri besar Kelantan bagi penggal ke-2.

Majlis angkat sumpah tersebut berlangsung di hadapan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra di Istana Kota Lama bermula 11.00 pagi tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang mengangkat sumpah jawatannya bagi penggal ke-2 pada Khamis lepas.

Majlis tersebut turut disaksikan Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu Datuk Ahmad Bache, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Pada majlis itu juga seramai 9 wakil rakyat mengangkat sumpah sebagai exco negeri, 5 yang dilantik semula dan 4 muka baru.

Lima yang dilantik semula ialah Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Temangan), Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Meranti), Datuk Hanifa Ahmad (Pengkalan Pasir), Datuk Md Anizam Ab Rahman (Kemahang), dan Mumtaz Md Nawi (Demit).

Empat Exco muka baharu ialah Tuan Saripuddin Tuan Ismail (Selising), Azami Mohd Nor (Kadok), Dr Izani Husin (Kijang), dan Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor).

Ahmad ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata portfolio bagi kesemua anggota Exco tersebut dan juga timbalan Exco akan diumumkan beberapa hari lagi.

Pada PRU14, PAS yang sudah 28 tahun mentadbir negeri ini menang 37 daripada 45 kerusi DUN, BN (8), PKR (0), PSM (0) dan Bebas (0).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.