
“Memang tepat pada masanya, beliau (Shahrir) dilantik zaman Barisan Nasional berkuasa, namun sekarang bukan BN lagi berkuasa, Felda mesti ‘reform’.
“Kawasan Felda majoriti menolak BN kerana isu Felda yang tidak boleh diselindung lagi,” kata Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Roslan Md Isa kepada FMT.
Beliau berkata, kerajaan perlu memilih individu yang mampu menjaga amanah, bukannya membawa agenda politik demi kepentingan pihak tertentu untuk mengetuai Felda.
“Yang paling, lantik mereka yang berkelayakan dan berkemampuan serta amanah. Boleh jadi ahli politik dan boleh sahaja teknokrat.
“Masalah pengerusi sebelum ini membawa agenda politiknya dalam pengurusan Felda,” dakwanya.
Shahrir mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Felda Isnin lalu.
“Memandangkan saya dilantik sebagai pengerusi Felda oleh kerajaan sebelum ini, adalah wajar untuk saya melepaskan jawatan dalam institusi yang diterajui kerajaan baharu,” kata Shahrir kelmarin.
Shahrir dilantik sebagai pengerusi Felda pada 6 Januari 2017 menggantikan Tan Sri Isa Abdul Samad yang dilantik sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).