
Mesyuarat itu yang dipanggil Arab Saudi, dijangka membincangkan langkah untuk berdepan tindakan AS, kata satu sumber diplomatik.
Ia akan didahului mesyuarat persediaan wakil tetap negara anggota Arab.
Washington merasmikan kedutaannnya di Baitulmaqdis Isnin lalu, meskipun ribuan penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan di Semenanjung Gaza, berhampiran sempadan Israel yang menyaksikan sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh dan kira-kira 2,800 lagi cedera.
Keganasan tentera Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak bersenjata mencetuskan kemarahan serantau dan dunia.
Tunjuk perasaan itu jatuh pada ulang tahun ke-70 deklarasi kemerdekaan Israel, sehari sebelum “Nakba Day” atau Hari Bencana yang disambut Palestin bagi memperingati pengusiran 750,000 rakyatnya dari rumah mereka pada 1948.
Tragedi berdarah pada Isnin menyebabkan angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 112 orang sejak penunjuk perasaan memulakan perarakan pulang besar-besaran pada akhir Mac, sempena ulang tahun ke-42 Hari Tanah Palestin, bagi mendesak hak pelarian Palestin dikembalikan.
Komuniti antarabangsa menganggap Israel bertanggungjawab di atas kebuntuan proses damai dengan Palestin, susulan polisi pengembangan penempatannya di wilayah Palestin yang diduduki.
Palestin ingin menubuhkan sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, susulan cadangan penyelesaian 2 negara oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berdasarkan sempadan sebelum 1967.
Israel adalah sekutu serantau nombor 1 AS, yang menyebabkan Presidennya, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel meskipun berdepan bantahan di peringkat antarabangsa.