
Perdana menteri berkata perkara itu dimaklumkan Gani dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam.
“Saya ingin tahu apa yang berlaku ketika dia (Abdul Gani) dipecat dan apakah hasil siasatannya.
“Dia dakwa beliau sedang menyediakan kertas pertuduhan terhadap Najib dan pada pagi itu dia dilucutkan jawatannya,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepemimpinan Perdana hari ini.
Bagaimanapun Dr Mahathir hanya diberitahu secara lisan tanpa ditunjuk dokumen pendakwaan terhadap Najib itu.
Gani merupakan bekas peguam negara yang mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat kes RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dan SRC International, yang dikaitkan dengan 1MDB.
Sementara itu, pihak berkuasa memberitahu lebih banyak kesalahan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terbongkar termasuk kes rasuah, seleweng wang rakyat dan salah guna kuasa.
“Saya dapat taklimat polis dan ketua audit negara lebih banyak kesalahan yang dilakukan daripada diketahui umum dan juga oleh saya.
“Kita akan ambil tindakan buat laporan polis dan apabila sampai tahap kita boleh tahan, kita akan tahan yang buat salah ini,” katanya.