5 muka baru dilantik exco P Pinang

5 muka baru dilantik exco P Pinang

Mereka ialah Soon Lip Chee (Jawi), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) dan Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Pinang Tunggal) dan Abdul Halim Hussain (Batu Maung).

Free Malaysia Today
Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilantik sebagai timbalan ketua menteri I dan P Ramasamy kekal timbalan ketua menteri II.
GEORGE TOWN:
Lima muka baharu dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang bagi penggal kali ini.

Mereka ialah 3 wakil DAP – Soon Lip Chee (DUN Jawi), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) dan Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah) dan 2 daripada PKR iaitu Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Pinang Tunggal) dan Datuk Abdul Halim Hussain (Batu Maung).

Majlis pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus serta barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook Buletin Mutiara

Pada majlis itu, 5 lagi bekas exco penggal lalu dilantik semula untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri iaitu Prof Dr P Ramasamy (Perai), Chong Eng (Padang Lalang), Jagdeep Singh Deo (Batu Maung), Phee Boon Poh (Sungai Puyu) dan Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya).

Ahmad Zakiyuddin dilantik sebagai timbalan ketua menteri I yang baharu menggantikan Datuk Mohd Rashid Hasnon yang kini mewakili kerusi Parlimen Batu Pahat manakala Ramasamy dikekalkan sebagai timbalan ketua menteri II.

Ahmad Zakiyuddin turut mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat manakala Ramasamy kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi.

Sementara itu, Soon Lip Chee mengetuai Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang sebelum ini di bawah portfolio Chong Eng sementara Yeoh Soon Hin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri menggantikan Danny Law Heng Kiang yang tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Abdul Halim pula memegang Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan menggantikan Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang kini dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang manakala Zairil Khir Johari dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir yang sebelum ini diketuai oleh Chow.

Empat lagi Exco yang dilantik semula itu masing-masing kekal mengetuai portfolio yang disandang pada penggal lalu kecuali Chong Eng yang kini mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam.

Jagdeep dilantik semula mengetuai Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa; Phee (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Dr Afif (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.