
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Selangor ACP R Supramaniam berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 38 tahun yang juga pengurus cawangan syarikat berkenaan mengurung 3 rakan sepejabatnya sebelum melarikan wang milik syarikat tersebut dengan menaiki sebuah motosikal.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek baru 2 bulan bekerja di cawangan itu dan dia pada mulanya menggunakan alasan bermalam di pejabat 2 tingkat tersebut, dan pada masa sama terdapat 2 pekerja lelaki lain sedang bertugas mengawal keselamatan premis berkenaan.
“Sekitar 12.30 tengah malam, suspek keluar minum dan sekembalinya ke pejabat, dia memanggil seorang rakannya untuk memeriksa bilik kebal di tingkat bawah kononnya dikatakan tidak berkunci. Apabila rakannya turun, suspek mengacukan senjata jenis ‘pump gun’ kepadanya dan mengurung lelaki itu dalam sebuah bilik berdekatan.
“Kemudian, dia memanggil seorang lagi rakan yang sedang tidur dengan alasan sama serta mengacukan senjata sama sebelum turut mengurungnya. Suspek turut menelefon ketua juruwang supaya datang ke pejabat atas alasan sama, bilik kebal tidak berkunci,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.