Anwar dibebas terus dari hospital, tak perlu ke penjara

Anwar dibebas terus dari hospital, tak perlu ke penjara

Datuk Saifuddin Nasution berkata Anwar dijangka dibebaskan selepas syor pembebasan dan pengampunan penuh oleh mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja esok.

Free Malaysia Today
Datuk Saifuddin berkata Anwar dijangka bebas sekitar tengah hari esok sebelum perhimpunan pada sebelah petang di Petaling Jaya.(Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Proses pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilakukan di Hospital Rehabilitasi Cheras tanpa perlu dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata Anwar dijangka dibebaskan selepas syor pembebasan dan pengampunan penuh oleh mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja yang bersidang 11.00 pagi esok.

“Jadi, jangkaan kita (pembebasan) sekitar tengah hari esok sebelum perhimpunan pada sebelah petang di Petaling Jaya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Anwar di hospital hari ini.

Semalam Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan agar semua prosedur berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan Diraja untuk Anwar dimuktamadkan esok.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.