
Tan Sri Ali Hamsa berkata, Irwan Serigar ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam mulai hari ini sehingga 13 Jun depan.
“Beliau tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan dan apa-apa yang berkaitan dengan Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Irwan Serigar juga adalah pengerusi 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan selesai susulan pelbagai aduan yang diterima mengenai kredibilitinya ketika menjalankan tugas.
Perdana menteri berkata, tugas Apandi diambil alih Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang mempunyai kuasa untuk terbabit dalam Lembaga Pengampunan.