
Beliau tidak melihat sebarang masalah untuk setiausaha agung DAP itu menggalas tanggungjawab kewangan, seperti Tan yang mendapat kepercayaan untuk memegang potfolio mustahak itu selama 15 tahun, asalkan mempunyai daya usaha dan sifat cekal dalam bidang fiskal dan ekonomi.
“Beliau mesti segerakan pembasmian GST dan kaedah mengatasi kos hidup yang tinggi,” kata Rais, ketika ditanya tentang wibawa Lim sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran baharu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tan Siew Sin, seorang pemimpin berketurunan Baba dari Melaka, memegang portfolio menteri kewangan dari 1959 hingga 1974l. Presiden ke-3 MCA ini merupakan menteri kewangan bukan Melayu kedua yang memegang jawatan penting itu selepas Tun Kolonel Henry Lee Hau Shik.
Sementara itu, seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata masih terlalu awal untuk menentukan kesesuaian Lim dalam portfolio itu, walaupun pemimpin DAP itu pernah mentadbir Pulau Pinang selama 2 penggal dari 2008 hingga 2018.
Ini kerana pelantikan seseorang ahli politik ke jawatan menteri kanan boleh juga dibuat berdasarkan kepada kedudukannya dalam parti atau gabungan parti politik.
“Ini berasaskan mesyuarat majlis presiden mereka. Mereka bahagi-bahagi jawatan ikut pemegang jawatan kanan. Sebab itu PH umumkan 3 kementerian sahaja, berasaskan kedudukan dalam parti,” katanya.
Selain Lim, Dr Mahathir menamakan seorang lagi muka baru dalam kerajaan persekutuan, iaitu Presiden Amanah, Mohamad Sabu, sebagai menteri pertahanan.
Namun begitu, Syed Hamid yakin perdana menteri sudah mengambil kira semua faktor semasa membuat pilihannya.
“Walaupun dia tak ada latar belakang kerajaan persekutuan dan diberikan kementerian yang mustahak, saya yakin Dr Mahathir sudah ambil kira semuanya,” katanya.
Pakar ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula percaya pengalaman Lim mentadbir Pulau Pinang akan membantunya dalam kerajaan persekutuan.
“Jawatan menteri kwangan sangat kritikal untuk semua orang. Kelayakan Lim paling sesuai berdasarkan pengalamannya,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah soal keturunan Lim tidak perlu ditimbulkan bila bercakap tentang kelayakan menggalas jawatan mustahak itu.
“Semasa Malaysia mula dibentuk mempunyai menteri kewangan keturunan Cina dan telah dibuktikan sangat cekap dan berkesan dalam mengawal ekonomi,” katanya.
Beliau berkata walaupun pentadbiran baru Dr Mahathir tidak mengumumkan jawatan menteri kewangan II, jawatan menteri kewangan akan diimbangi jawatan menteri ekonomi.