Apandi diarah bercuti, kata Dr Mahathir

Apandi diarah bercuti, kata Dr Mahathir

Perdana menteri berkata, tugas Apandi diambil alih peguam cara negara yang turut mempunyai kuasa untuk terbabit dalam Lembaga Pengampunan.

Free Malaysia Today
Perdana menteri berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kredibiliti Apandi ketika menjalankan tugas sebagai peguam negara. (Gambar Youtube)
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarah bercuti sementara menunggu siasatan selesai, susulan pelbagai aduan yang diterima mengenai kredibilitinya ketika menjalankan tugas.

Perdana menteri berkata, siasatan boleh dijalankan jika ada laporan polis rasmi mengenai dakwaan ke atas Apandi dan beliau mungkin digantung tugas atau dikenakan tindakan lain termasuk dilarang keluar negara.

Ditanya punca Apandi diminta bercuti disebabkan beberapa cubaan menutup kes, beliau berkata: “Ada banyak aduan tentang peguam negara, atas dasar itu kita berikan dia cuti.

“Walaupun ada tuduhan, tetapi belum ada laporan. Jika ada laporan, barulah siasatan boleh dijalankan, tindakan boleh diambil untuk menyekat tugas peguam negara,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Perdana menteri berkata, tugas Apandi diambil alih Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang mempunyai kuasa untuk terbabit dalam Lembaga Pengampunan.

“Memandangkan ada juga masalah dengan peguam negara, peguam negara akan bercuti dan tempatnya akan diambil peguam cara negara, beliau juga mampu menggantikan tugas Apandi.

“Kedudukan peguam negara ini sukar sedikit kerana dia baru sahaja diberikan kontrak baru.

“Kita perlu ikut undang-undang, soal penggantungannya perlu beberapa tindakan dan disebabkan itu Apandi hanya diberikan cuti.

“Ketika ini, saya perlu dapatkan laporan dahulu. Saya tidak boleh gantung mana-mana (orang) sesuka hati. Saya perlu ikut undang-undang.”

Apandi di bawah tekanan untuk meletak jawatan selepas Dr Mahathir mendakwanya menyembunyikan bukti berkaitan dakwaan salah laku 1MDB.

Kontrak 3 tahunnya yang bakal tamat pada 27 Julai ini, bagaimanapun dilanjutkan 3 tahun lagi oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum Rabu lalu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Tan Sri Dzulkifli Ahmad memilih untuk meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Selepas siasatan, beliau mungkin hanya digantikan atau beliau boleh letak jawatan…Jika siasatan mendapati terdapat kes terhadapnya, kami akan ambil tindakan.”

Dzulkifli menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa hari ini dan akan melaporkan diri ke Jabatan Peguam Negara, esok.

Dzulkifli, 50, pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2021 secara pertukaran sementara.

Beliau dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai pakar perunding integriti Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ditanya jika lebih ramai pegawai atau ketua setiausaha kementerian akan digantung tugas kerana aduan salah laku, katanya, kerajaan perlu bertindak berdasarkan peraturan dan prosedur, iaitu mendapatkan laporan sebelum menggantung tugas penjawat awam terbabit.

“Saya mahu mengambil tindakan secepat mungkin sebab itulah saya bekerja sepanjang hari dan 2 hari lepas, saya percepatkan prosesnya.

“Saya tidak dapat meramalkan tempoh siasatan itu akan siap. Saya harap dapat mengambil langkah konkrit dalam masa seminggu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.