
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata partinya komited dengan keputusan Dr Mahathir melantik Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan.
“Saya dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi (di Hospital Rehabilitasi Cheras), kita telah menegaskan bahawa pertama PKR sambut baik, kesudian Dr Mahathir mengunjungi Anwar petang semalam dan ulangi sokongan Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis kesyukuran kemenangan PH.
Kesudian Dr Mahathir bertemu Anwar ditekankan dipercayai kerana beliau merupakan ketua umum bagi PKR dan Pakatan Harapan, dan pilihan asal gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.
Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, parti itu tidak ada dalam mesyuarat pemimpin parti ketika keputusan mengenai pelantikan jawatan Kabinet dibuat. Beliau berkata keputusan mengenai pelantikan mestilah dipersetujui semua 4 parti dalam pakatan itu.
Beliau berkata, barisan Kabinet baru masih dalam perundingan dengan Anwar, dan “PKR beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad.”
Azmin bagaimanapun berkata kenyataan Rafizi itu tidak mewakili parti.
“Jemaah ini melihat kepada keputusan parti dan keputusan rasmi itu telah dinyatakan oleh Anwar hari ini,” katanya.
Ketua Umum PKR dalam kenyataan hari ini berkata partinya berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan menyalurkan kebimbangan pemimpin parti yang mahukan “pendekatan lebih inklusif dalam perundingan”.
Anwar berkata Dr Mahathir menerima pandangan itu “tetapi semua keputusan mesti dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan”.
Azmin menjelaskan Anwar meminta Dr Mahathir memastikan proses perbincangan diteruskan dan melibatkan semua pandangan dan maklum balas, agar keputusan pentadbiran baharu menjadi lebih kuat.