
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah berkata PAS menerusi kajiannya yakin parti itu kekal memerintah Kelantan.
“Kami ada kajian sendiri, kami tak nak ulas kajian Invoke sebab kita ada kajian kita sendiri. Setakat ini kita boleh pertahan Kelantan, cuma jumlah kerusi sahaja kita tak boleh nak sebut dengan tepat, mungkin ada kekurangan atau lebih.
“Tetapi dari segi pentadbiran Kelantan, kita kekal. Di luar Kelantan pun, maklumat kita dapat adalah positif,” katanya ditemui di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV selepas majlis Munajat Perdana yang dihadiri ribuan penyokong PAS.
Invoke meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan persekutuan yang akan datang dengan majoriti mudah berdasarkan kecenderungan pengundi di Semenanjung Malaysia.
Badan itu juga meramalkan PAS tidak akan menang walaupuan satu kerusi di seluruh Malaysia.
Menurut Invoke yang dipimpin Rafizi Ramli itu, BN dijangka menang hanya di Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta mendapat 54 kerusi Parlimen, manakala PH pula berjaya memenangi 111.