Nik Omar sukar menang di Chempaka, kata penganalisis

Nik Omar sukar menang di Chempaka, kata penganalisis

Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, penduduk boleh menerima hasratnya untuk meneruskan perjuangan Nik Aziz dalam undang-undang Islam seperti hudud, tetapi menolak perjuangan Amanah yang mesra DAP.

Free Malaysia Today
Gambar Youtube.
KOTA BHARU:
Seorang penganalisis politik meramalkan anak bekas mursyidul am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding atas tiket PKR, sukar memenangi kerusi negeri Chempaka, kata seorang penganalisis politik.

Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, penduduk boleh menerima hasratnya untuk meneruskan perjuangan Nik Aziz dalam undang-undang Islam seperti hudud, tetapi menolak perjuangan Amanah yang mesra DAP.

“Jika beliau menyertai Amanah dan masih lagi berpegang teguh dengan pendirian Nik Aziz seperti isu syariah Islam, mungkin beliau boleh diterima walaupun dalam parti berbeza, cuma kalau beliau nampak kepada perjuangan Amanah yang mesra DAP, sukar orang kampung terima beliau,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cabaran ke-2 Nik Omar terpaksa hadapi ialah ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak yang tidak merestui tindakannya bertanding atas tiket PKR mewakili PH, tetapi menyokong calon PAS di Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.

Nik Omar akan berdepan penyandang DUN Chempaka, Fathan dan calon BN, Mohamad Fareez Noor Amran.

Kamarul berkata, tindakan pemimpin Amanah terlalu memuja Nik Omar akan memakan diri mereka kerana tidak mengiktiraf peranan Penasihat Amanah, Ahmad Awang dan timbalannya, Abdul Ghani Samsuddin sebagai tokoh agama.

“Saya nampak agak keterlaluan analisis yang dibuat sesetengah penganalisis politik kononnya penyertaan Nik Omar akan membawa gelombang besar kepada orang Melayu.

“Saya rasa ini adalah satu tindakan yang tidak begitu objektif untuk melambung Nik Omar terlalu tinggi sedangkan beliau selama ini adalah seorang ahli PAS biasa sahaja, bukan seorang pemimpin utama, tapi kemasukan beliau atas dasar nama bapa beliau bukan pengaruh sendiri.

“Saya rasa meletakkan Nik Omar terlalu tinggi merupakan satu tindakan yang berbahaya kepada Amanah kerana ia boleh menjejaskan tokoh agama lain dalam amanah seperti Ahmad Awang dan Abdul Ghani.”

Kamarul berkata, penyertaan Nik Omar dalam Amanah tidak memberi kesan besar di Kelantan dan seluruh negara.

“Saya rasa pendangan mengenai Nik Omar akan membawa satu lonjakan besar kepada umat Islam di seluruh negara adalah tidak betul, cuma di peringkat DUN Chempaka itu ada kemungkinan untuk beliau memberi impak kepada Amanah…tidak ada ahli PAS yang lain mengikut beliau menyertai Amanah.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.