
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd menambah tindakan boleh diambil terhadap penganjur mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan jika debat berlangsung tanpa permit.
Menurut Khalil, polis tidak mengeluarkan permit kerana penganjur hanya memaklumkan program berkenaan tetapi tidak memohon permit.
“Kita baru terima 10.30 pagi tadi telah dimaklumkan melalui satu surat yang telah meminta diadakan debat.
“Jadi penganjur hantar surat ke kita maklumkan akan adakan debat tapi dia tak mohon kepada kita. Dia maklum. Dia tak pohon permit,” katanya.
Razali pada Rabu bersetuju dengan pelawaan Syed Saddiq asalkan perdebatan itu mendatangkan faedah kepada warga Muar.
Semalam, Syed Saddiq berkata hasil perbincangan wakilnya dengan wakil calon Razali bersetuju untuk berdebat di Hotel Traders Muar 8.00 malam ini.
Khalil berkata penganjur patut memohon permit daripada ketua polis Muar jika mahu debat berlangsung.
“Untuk memelihara ketenteraman awam kita takkan benarkan.
“Saya seru pada mereka semua taklah hadir atau datang demi ketenteraman awam,” katanya.