Debat Syed Saddiq-Razali tak perlu permit, penganjur jawab polis

Debat Syed Saddiq-Razali tak perlu permit, penganjur jawab polis

Akademi Penokohan Pemuda (Shield) berkata program itu bukan aktiviti yang perlukan pemberitahuan kepada polis menurut Akta Perhimpunan Aman atau Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook

Penganjur debat calon PH Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon BN Datuk Seri Razali Ibrahim yang dijadualkan malam ini berkata acara itu tidak memerlukan permit polis.

Akademi Penokohan Pemuda (Shield) berkata program itu bukan aktiviti yang perlukan pemberitahuan kepada polis menurut Akta Perhimpunan Aman atau Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Sebaliknya program debat tersebut program persendirian yang diadakan di tempat persendirian iaitu Hotel Traders Muar yang mana penganjur telah pun mendapat keizinan daripada pemilik Hotel tersebut,” kata Shield.

“Program debat tersebut juga bukannya satu ‘perhimpunan yang menyalahi undang-undang’ menurut Seksyen 141 Kanun Keseksaan memandangkan tujuan penganjuran Program Debat tersebut tidak termasuk dalam Seksyen 141(a), (b), (c), (d) dan (e) Kanun Keseksaan.”

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya tidak dapat mengeluarkan permit kerana penganjur hanya memaklumkan program berkenaan tetapi tidak memohon permit.

Beliau menambah tindakan boleh diambil terhadap penganjur mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan jika debat berlangsung tanpa permit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.