
Dalam nada sedih, Mukhriz yang akan mencabar penyandang kerusi Jitra itu pada 9 Mei ini berkata, mereka berdua berjumpa dalam satu majlis di Istana Anak Bukit baru-baru ini.
Mukhriz berkata, keadaan itu agak janggal. Mereka menjabat tangan dengan mesra, tetapi tidak banyak bercakap dengan satu sama lain.
“Kami masih ada bercakap, tetapi tidak sama seperti dahulu.
“Kami buat apa yang perlu. Apabila pilihan raya tiba, persahabatan masih ada, tetapi kami didorong agenda lebih besar – menyelamatkan negeri dan negara. Malang sekali beliau di sebelah sana. Saya berhasrat menewaskannya,” katanya ketika melawat pasar pagi Asun.
Mengimbau saat beliau menjadi menteri besar, Mukhriz berkata, beliau yang memilih Aminuddin sebagai exco.
“Saya pilih beliau sebagai calon pada pilihan raya lalu. Saya berkempen untuknya bagi memastikan beliau menang dan kemudian saya melantiknya sebagai exco dalam kerajaan negeri.
“Beliau bersama saya sehingga akhir, tetapi selepas itu beliau memutuskan untuk bersama Umno.”
Mukhriz percaya Aminuddin masih bertanding di Jitra kerana beliau turut bertanding di sana.
“Beliau tidak baik dengan ketua bahagian (Penyandang Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum). Beliau di pihak lain.
“Jadi, saya mungkin menyelamatkannya melalui pencalonan saya di Jitra. Tetapi, saya masih mahu berhasrat menang,” katanya sambil ketawa.
Pada pilihan raya umum ke-13, Aminuddin memenangi kerusi negeri Jitra selepas menewaskan calon PAS, Rohani Muttalib dengan kelebihan 3,056 undi.
Di kemuncak krisis kepimpinan Kedah pada 2016, Aminuddin tetap bersama dan menyokong Mukhriz.
Aminuddin turut berada di sisi Mukhriz apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan menteri besar.
Pada PRU14, selain Mukhriz dan Aminuddin, kerusi negeri Jitra turut dicabar calon PAS, Zulhazmi Osman.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14