Husam dakwa Mohd Amar pernah tolak Nik Omar, Nik Abduh

Husam dakwa Mohd Amar pernah tolak Nik Omar, Nik Abduh

Pengerusi PH Kelantan berkata 2 anak Nik Aziz itu pernah dicadang sebagai calon DUN Chempaka pada 2015 tetapi nama ditolak oleh timbalan menteri besar itu.

Free Malaysia Today
Husam ketika ditemui pemberita selepas ceramah di Tanjung Mas.
KOTA BHARU:
Husam Musa mendakwa Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menolak cadangan meletakkan Nik Omar dan Nik Mohamad Abduh, anak kepada tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Chempaka 2015.

“Selepas Nik Aziz meninggal dunia, perkara ini iaitu meletakkan Nik Abduh di DUN Chempaka juga dibincangkan, namun Mohd Amar menolak keras dengan alasan Nik Abduh sudah mempunyai kerusi di Parlimen Pasir Mas.

“Justeru, saya menasihatkan Mohd Amar supaya tidak bercakap bohong bagi mengelak lebih banyak perkara yang terbongkar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah di Tanjung Mas semalam.

Husam juga mendakwa “orang” Pengkalan Chepa anti kepada Nik Aziz, dan disebabkan itu Nik Abduh kalah teruk dalam pemilihan PAS kawasan untuk merebut jawatan timbalan yang dipertua pada 2017.

Terdahulu, Mohd Amar membidas Husam dengan berkata dia juga terbabit dalam pemilihan calon PRK DUN Chempaka dan tidak memilih Nik Omar ketika itu.

Husam sebelum itu berkata PAS tidak memberi peluang kepada Nik Omar untuk bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa sebagai calon parti Islam itu pada pilihan raya kali ini.

“Hari ini semua perkara dibangkitkan dan menyalahkan PAS,” kata Mohd Amar.

Nik Omar sekarang bertanding di DUN Chempaka sebagai calon Pakatan Harapan, sementara Nik Abduh digerakkan ke Parlimen Bachok, yang dimenangi PAS pada PRU13 dengan majoriti 201 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.