
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Tan Sri Zainal Rampak berkata Najib begitu dekat dengan pemimpin kesatuan pekerja dan sentiasa berani melakukan anjakan perubahan demi meningkatkan produktiviti pekerja.
Katanya, jika BN terus diberi mandat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau mempunyai keyakinan tinggi golongan pekerja akan memperoleh lebih banyak manfaat.
“Jika dibandingkan dengan ada pemimpin dulu, anti kesatuan, misalnya pekerja elektronik yang hanya menerima gaji serendah RM4.20 tidak boleh menuntut hak mereka termasuk menubuhkan kesatuan.
“Sekatan penubuhan kesatuan ini adalah kerana terikat dengan syarat pelabur asing sehingga menyebabkan golongan itu ditindas,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Zainal yang berkhidmat selama 19 tahun bersama MTUC juga berkata nasib pekerja kini terbela berikutan keterbukaan Najib menerima pandangan kesatuan sekerja.
“Sambutan Hari Pekerja yang dinikmati hari ini adalah perjuangan kami pada 1972, menuntut supaya ia diberikan cuti umum dan mendapat persetujuan daripada Tun Abdul Razak, bapa perdana menteri sekarang.
“Kini, sikap peduli terhadap kesatuan dan pekerja itu diwarisi oleh Najib sehingga golongan pekerja hari ini menerima banyak manfaat termasuk gaji minimum dinaikkan dan sistem insurans pekerjaan diperkenalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Zainal berharap lebih banyak peluang dan bantuan perniagaan secara kecil-kecilan dapat diwujudkan bagi membantu menjana pendapatan pekerja yang berhenti kerja lebih awal atau bersara.
“Mereka seharusnya tidak bersandarkan duit pencen atau pendapatan anak-anak semata-mata kerana kos hidup yang semakin meningkat sebaliknya berusaha mencipta pekerjaan untuk menjana pendapatan supaya kekal produktif,” katanya.