BN belum yakin menang Kelantan selepas 4 hari berkempen

BN belum yakin menang Kelantan selepas 4 hari berkempen

Mustapha menyeru jentera BN terus bekerja kuat sehingga hari pembuangan undi bagi memastikan misi Kelantan tercapai.

Free Malaysia Today
Mustapha (kiri) pada sidang media di Kota Bharu hari ini ditemani Setiausaha BN Kelantan Datuk Hanafi Mamat.
KOTA BHARU:
BN Kelantan mengakui peluang mentadbir Kelantan selepas 9 Mei ini belum memihak kepada mereka selepas minggu pertama berkempen.

Ketua BN Kelantan Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata momentum jentera BN berada di tahap luar biasa namun tiada jaminan kemenangan di negeri kubu kuat PAS itu.

“Sebenarnya momentum bermula pada PRU13 lagi, apabila kita berjaya menambah kerusi dari 2-5 kerusi Parlimen dan 6-12 kerusi DUN. Hari ini keadaan bertambah baik tapi kita belum sampai ke tahap yakin menang.”

“Orang kita kena kerja keras…masih lagi 50-50,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Mustapha berkata BN memberi perkhidmatan kepada rakyat Kelantan di semua kawasan sejak selepas PRU13.

“Kita kerja dengan konsisten sejak menang PRU13 bukan sahaja tempat yang kita menang tapi di semua kawasan yang dijalankan oleh ketua bahagian.

“Agenda kita 5 tahun selepas menang kita mahu bina universiti Darul Quran, membina stadium baru, turunkan premium tanah dan 50,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata Kelantan medan pertarungan yang sengit setiap kali pilihan raya.

“Tak pernah dalam sejarah pilihan raya di Kelantan ini tenang…kempen cukup hebat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.