
Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, selepas tertuduh, yang memakai cermin mata, berjubah putih, dan berkopiah hijau, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Lelaki itu, yang berasal dari Yaman dan bekerja sebagai pembersih kuda di Denmark, menjadi individu pertama didakwa dan dijatuhi hukuman mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 selepas akta itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai 11 April lepas.
Salah Salem, yang datang ke negara ini pada 11 April lepas untuk melancong, diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 April lepas dan akan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut mengarahkan Salah Salem memadam video rakaman itu dari akaun YouTube.
Salah Salem dituduh dengan niat jahat menerbitkan berita tidak benar melalui rakaman video di akaun YouTube atas nama “Salah Sulaiman” bertajuk “Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batash di Kuala Lumpur, cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik wakil” di sekitar Kondominium Puteri Idaman, Jalan Meranti, Setapak, antara 6.50 pagi dan 9 pagi pada 21 April lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 6 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, selepas pertuduhan dibacakan dan barang-barang kes termasuk telefon bimbit dan kayu swafoto dikemukakan di mahkamah, sebuah video turut ditayangkan melalui televisyen yang memaparkan seorang lelaki bercakap dalam bahasa Arab di lokasi pembunuhan Dr Fadi dengan mendakwa Polis DiRaja Malaysia tiba lewat di tempat kejadian iaitu 50 minit kemudian manakala ambulans pula tiba selepas 1 jam.
Lelaki itu turut mendakwa dia ada bersama-sama Dr Fadi ketika ditembak dan beliau masih bernafas selepas insiden itu.
Ketika ditanya Hakim Zaman, tertuduh mengesahkan rakaman video itu miliknya dan dia individu di dalam video itu.
Ketika rayuan bagi mengurangkan hukumannya, lelaki itu yang tidak diwakili peguam, meminta maaf kepada mahkamah kerana datang ke Malaysia untuk melancong dan tidak mengetahui undang-undang di Malaysia.
“Saya tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa pun, ia adalah kata-kata ketika saya dalam keadaan marah. Saya kesal. Ini kesilapan saya. Saya mohon maaf.
“Saya tidak tahu apa-apa pun tentang Malaysia. Saya mohon maaf kepada semua di Malaysia… saya mempunyai 3 isteri dan 6 anak, saya tiada sesiapa pun di Malaysia,” katanya yang berulang kali memohon maaf dan kemudian menundukkan kepalanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dengan mengambil kira tindakan menyebar berita palsu perlu dihalang kerana ia memberi impak dan pengaruh negatif kepada pihak tidak bersalah selain boleh memudaratkan ketenteraman awam dan negara.
“Penyebaran berita palsu itu bukan sahaja menjejaskan imej Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi juga negara dan turut mengguris hati keluarga mangsa. Tertuduh sepatutnya lebih menghormati undang-undang Malaysia,” katanya.
Mengikut fakta kes, pihak polis menerima rakaman video 1 minit 49 saat memaparkan seorang lelaki Arab membuat kenyataan yang turut memaparkan sarikata dalam bahasa Malaysia dan hasil siasatan mendapati kandungan video itu mengandungi berita tidak benar bertujuan menjatuhkan imej polis.
Pada 21 April lepas, Dr Fadi, 35, yang juga pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak di sini pada kira-kira 6.00 pagi semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh.