
Rashid, 58, merupakan anak jati dari Muar, Johor.
Bercakap kepada FMT, Rashid yang menyandang kerusi negeri Pantai Jerejak di Pulau Pinang, berkata sepanjang kerjayanya di dalam politik beliau belum pernah kalah.
Namun, kali ini beliau sedikit gementar untuk bertanding di Batu Pahat, di mana partinya menang tetapi dengan majoriti kecil, menewaskan Datuk Puad Zarkashi yang digugurkan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.
“Saya agak risau pada mulanya. Saya sudah bertahun-tahun meninggalkan negeri kelahiran saya ini dan membina kerjaya politik saya di Pulau Pinang.
“Disebabkan itu saya fikir bukan tugas mudah untuk saya kembali di sini dan kepulangan saya ini haruslah diiringi dengan kerja kuat dan lebih keras di sini,” katanya kepada FMT.
Rashid merupakan salah seorang pengasas Parti Keadilan Nasional (PKN) Pulau Pinang, dan kini memegang jawatan sebagai naib pengerusi PKR Pulau Pinang.
Rashid berkata berpindah ke Johor bermakna berpisah dengan Pulau Pinang yang sudah lama menjadi rumahnya.
“Ia bukan satu tugas yang mudah tetapi saya yakin setakat ini, orang di Batu Pahat positif menerima kehadiran saya,” katanya.
Batu Pahat adalah kerusi campuran dengan 54% pengundi Melayu, 43% Cina dan 1.3 % kaum India.
Pada 2013, tokoh kurang dikenali dari PKR, Datuk Mohd Idris Jusi menewaskan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi dengan majoriti 1,732 undi.
Bagaimanapun, Idris tidak dicalonkan oleh PKR kali ini.
Rashid mengakui orang Batu Pahat tidak menerimanya begitu sahaja. Bagaimanapun, beliau cuba menyesuaikan diri, termasuk dengan menggunakan pengetahuan bahasa Jawa yang ditutur sebahagian penduduk di sini.
“Batu Pahat merupakan satu campuran penduduk yang unik di mana terdapat orang Jawa dan Banjar yang mana masing-masing mempunyai keperluan yang berbeza sebagai rakyat Johor.
“Saya boleh bercakap Jawa dan saya percaya ini juga antara sebab mereka akan terima saya dan mudah untuk saya dekati mereka kerana ada sebahagiannya terharu apabila saya bercakap dengan mereka,” katanya.
Bagi Rashid, meletakannya sebagai calon di Batu Pahat bukan penurunan pangkat.
Sebaliknya, ia satu penambahbaikan dalam kerjaya politiknya.
“Jika saya menang pada PRU ini, saya boleh membawa suara rakyat ke peringkat lebih besar iaitu di dalam Dewan Rakyat.
“Ini sesuatu pengalaman baru untuk saya, dan saya harap saya dapat lakukannya,” katanya.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14