
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata surat berkenaan dikeluarkan bulan ini kepada sekolah berkenaan kerana membenarkan 2 aktiviti berjalan serentak di padang sekolah, iaitu raptai hari sukan dan pemotongan rumput.
“Pampasan insurans Takaful daripada kementerian sebanyak RM5,500 telah diberikan kepada keluarga mangsa pada 23 Februari lepas,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Penghargaan “Terima Kasih Cikgu” peringkat Negeri Sembilan sempena Sambutan Hari Guru 2018 hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, 13 Febuari lepas, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 2 rakannya, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu ketika menyertai raptai perbarisan sukan.
Terdahulu, majlis itu disertai 500 orang terdiri daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta warga pendidik.
Pelajar terkena pisau pemotong rumput: Pampasan selepas selesai siasatan