Jumlah rumah tidak terjual catat rekod pada 2017

Jumlah rumah tidak terjual catat rekod pada 2017

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta berkata jumlah unit rumah kediaman siap tidak terjual meningkat 67.2% pada 2017 berbanding 2016.

PETALING JAYA: Sebanyak 24,738 unit rumah siap belum terjual tahun lepas, angka paling tinggi yang direkodkan.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkata jumlah unit rumah siap tidak terjual pada 2017 meningkat 67.2% berbanding tahun sebelumnya dengan nilai keseluruhan RM15.64 bilion, iaitu kenaikan sebanyak 82.8% berbanding 2016.

JPPH menakrifkan unit tidak terjual sebagai unit siap yang berada di pasaran lebih 9 bulan selepas dilancarkan.

Pada 2017, sektor hartanah Malaysia menyaksikan penurunan dalam jumlah dan nilai transaksi, dengan jumlah transaksi jatuh 2.7% kepada 311,824 sementara nilainya menurun 3.8% kepada RM139.84 bilion.

The Edge Finacial Daily melaporkan hartanah kediaman masih merupakan pemacu utama pasaran tempatan, mewakili 62.4% keseluruhan pasaran pada akhir 2017. Bagaimanapun segmen hartanah kediaman merosot 4.1% dalam jumlah transaksi, sementara nilainya meningkat 4.4% kepada RM68.47 bilion.

Harga rumah kediaman menyaksikan peningkatan berterusan dengan Indeks Harga Rumah Malaysia menokok 6.5% kepada 187.4 mata berbanding tahun sebelumnya, dengan Selangor dan Kuala Lumpur mengalami peningkatan tertinggi masing-masing 7.6% dan 7.3%.

JPPH baru-baru ini melancarkan platform digital maklumat hartanah tidak terjual (UPESM) bagi menyediakan maklumat lokasi unit hartanah tidak terjual kepada awam.

Ketua Pengarah JPPH, Nordin Daharom berkata, pengguna boleh menggunakan fungsi carian UPESM untuk mendapat maklumat tentang jumlah unit tidak terjual mengikut negeri, majlis tempatan dan jenis harta.

“Sistem ini membolehkan pemaju hartanah dan kerajaan menggunakan maklumat disediakan bagi membuat keputusan lebih tepat tentang projek atau polisi akan datang,” katanya selepas melancarkan Laporan Status Pasaran Hartanah 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.