Saya masih hormat Dr M, kata Nawawi

Saya masih hormat Dr M, kata Nawawi

Penyandang kerusi parlimen Langkawi itu berhati-hati dalam bercakap mengenai bekas orang kuat Umno itu.

Free Malaysia Today
Datuk Nawawi Ahmad berkata beliau masih mendoakan kesejahteraan Dr Mahathir Mohamad walaupun bekas PM itu di pihak pembangkang. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, menggesa pengundi di pulau itu tidak terlalu mengikut perasaan apabila membuang undi pada pilihan raya akan datang, susulan pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon di pulau peranginan itu.

Nawawi yang juga ketua Umno Langkawi berkata beliau tidak terkejut Dr Mahathir akan bertanding di Langkawi, kerana pengerusi PH itu sendiri pernah menyuarakan hasrat sedemikian.

Bercakap kepada FMT, Nawawi berkata beliau juga menghormati bekas perdana menteri itu seperti penduduk Langkawi yang lain.

“Sebenarnya, saya sangat menghormati Dr Mahathir. Orang-orang Langkawi juga menghormatinya kerana dia orang tua dan bekas perdana menteri. Dia banyak menyumbang kepada pembangunan Langkawi.

“Tetapi itu adalah masa lalu. Ia adalah hari-hari ketika dia berkuasa, ketika dia menjadi perdana menteri. Kini, dia tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan. Dia bertanding di sini sebagai individu, bukan sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Walaupun kami sangat menghormatinya, rasa hormat tidak bermakna memberi harapan kepadanya. Hormat bermaksud hanya menyapa ‘hai’, menciumnya dan berdoa untuk kesihatan dan umur panjang,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Pengumuman pimpinan PH di Padang Matsirat, Langkawi pada Ahad lalu mengakhiri spekulasi di mana pengerusi gabungan itu akan bertanding pada PRU akan datang.

Langkawi dianggap salah satu daripada 3 kerusi berpotensi untuk Dr Mahathir, di samping Kubang Pasu dan Putrajaya.

Dr Mahathir merupakan ahli Parlimen Kubang Pasu selama 7 penggal, dan dianggap sebagai individu di sebalik pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara pada lewat 1990-an.

Nawawi, yang juga pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad, berkata pengundi perlu mempertimbangkan sama ada mereka mahu mengundi kepada individu atau kepada kerajaan yang kuat.

“Saya rasa pengundi akan memikirkan masa depan Langkawi dan negara,” katanya.

Ditanya sama ada beliau melihat Dr Mahathir sebagai ancaman, Nawawi mengelakkan soalan itu, mengatakan beliau tidak mahu kelihatan sombong atau berbangga diri.

“Tetapi saya rasa BN sangat kuat dan akan mengekalkan Langkawi dalam PRU14.”

Pada PRU lalu, Nawawi memenangi kerusi itu dalam mengalahkan Ahmad Abdullah dari PKR dengan memperoleh majoriti 11,861 undi.

Di dalam PRU14, dijangka akan berlaku pertandingan 3 penjuru dengan penyertaan PAS.

Dr Mahathir bertanding di Langkawi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.