
Pengerusi PH mendakwa surat SPR kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata pertemuan tidak dapat diadakan kerana ada urusan yang tidak dapat dielak.
“Kita berikan tarikh 10 April untuk bertemu tetapi mereka pula kata tidak boleh jumpa kononnya sibuk. SPR sepatutnya ditubuh untuk bantu pilihan raya dilakukan dengan cara baik, tertib dan aman.
“Tetapi SPR pula tidak rela berjumpa. Inilah masalah yang dihadapi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM,” hari ini.
Saifuddin sebelum ini menghantar surat kepada Penasihat Undang-Undang SPR, Azizah Md Arshad meminta satu pertemuan diadakan bagi menjawab beberapa persoalan berkenaan penggunaan lambang PKR oleh PPBM, DAP dan Amanah.
Ketiga-tiga parti mahu menggunakan lambang PKR selepas mereka gagal mendaftarkan Pakatan Harapan untuk pilihan raya umum.
Surat itu, yang dibacakan Dr Mahathir kepada pemberita pada sidang media tadi berbunyi, SPR tidak dapat mengadakan pertemuan pada tarikh yang dipohon kerana ada urusan di mahkamah.
Menurut surat itu lagi, SPR dalam usaha memuktamadkan perkara berkaitan pilihan raya dan isu yang ditimbulkan kepadanya, dan memohon gabungan pembangkang menunggu makluman daripadanya.
“Jangan nanti di saat terakhir, sewaktu hendak menamakan calon keluar pula arahan bahawa tidak boleh pakai lambang PKR hingga kita tidak dapat bertanding dan BN menang tanpa bertanding,” kata Dr Mahathir.