Adik Nik Abduh tak bertanding PRU kerana tiada restu ibu

Adik Nik Abduh tak bertanding PRU kerana tiada restu ibu

Nik Omar tidak berkata beliau menghormati permintaan ibunya.

PETALING JAYA: Anak kedua bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menyertai politik atau bertanding pada pilihan raya umum kerana tidak mendapat keizinan ibunya.

Sinar Harian memetik Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang berkata keputusan itu kerana ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak membenarkannya menyertai bidang politik.

“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan.

“Bila ditanya kenapa bonda? Saya nak tunjuk apa jua yang kita lakukan pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu,” katanya.

Semalam, Nik Omar yang juga adik Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz menafikan khabar angin beliau akan menyertai Amanah dan bertanding di Chempaka, kerusi negeri yang pernah diwakili arwah bapanya.

“Setakat ini tidak akan menyertai Amanah dan bertanding,” katanya.

Nama Nik Omar disebut-sebut apabila Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pihaknya sedang berunding dengan Nik Omar membawanya masuk parti.

Sebelum ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata Nik Omar belum disahkan secara rasmi akan bertanding sebagai wakil Amanah.

“Setakat ini saya dengar daripada Kelantan begitu rupa tapi belum lagi disahkan secara rasmi. Dengar khabar begitu, dia bersedia,” katanya.

Anak Nik Aziz nafi sertai Amanah, tanding DUN Chempaka

Mat Sabu: Anak Nik Aziz belum sah bertanding untuk Amanah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.