Mufti Perlis minta pengundi tolak calon Hindraf

Mufti Perlis minta pengundi tolak calon Hindraf

Dr Mohd Asri berkata Hindraf ancaman kepada keamanan negara.

PETALING JAYA:
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin memperbaharui serangannya terhadap Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dengan meminta pengundi tidak mengundi calon gerakan itu, yang kini bersekutu dengan Pakatan Harapan (PH).

Asri berkata Hindraf adalah ancaman kepada keamanan negara dan calonnya hendaklah ditolak.

“Mana-mana pihak yang menjadikan mereka calon, saya merasa pihak itu akan mengancam kedamaian yang sekian lama wujud dalam negara ini,” katanya di Facebook.

Mufti Perlis itu sebelum ini bertelagah dengan Hindraf berikutan tentangan pertubuhan tersebut terhadap pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

April tahun lepas, berikutan saman sivil oleh Hindraf dan beberapa pihak lain terhadap kerajaan kerana membenarkan Zakir tinggal di Malaysia, Asri menulis sebuah puisi di Facebook.

“Apabila yang mempertuhankan lembu bersatu, lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu, mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati, pembakar wanita janda…di benua sana…sedih, sehingga ada dipanggil paria…wajarkah manusia diperlakukan sedemikian rupa, betapa menghina insan sesama…,” tulis beliau.

Berikutan desakan dan kecaman Hindraf dan pertubuhan sivil lain, Asri memohon maaf kepada penganut Hindu dan berkata puisi itu ditujukan kepada kerajaan India pimpinan perdana menterinya, Narendra Modi kerana keganasan oleh puak pelampau Hindu ke atas orang Islam kerana menyembelih lembu.

Hindraf mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin PH, termasuk pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy berkata, pertubuhan itu akan membantu PH dengan menyeru masyarakat India di luar bandar dan kawasan pinggir bandar mengundi pakatan pembangkang.

Pada Ogos tahun lepas, Dr Mahathir dan Waythamoorthy membincangkan kemungkinan kumpulan pendesak Hindu itu menyertai PH. Mereka bertemu beberapa kali selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.