
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata PAS tidak gentar dan sedia menewaskan presiden Amanah yang popular dengan panggilan Mat Sabu itu walau di mana beliau dicalonkan.
“Kita akan tunggu. Dia pun selalu pindah randah dan muktahir ini, di mana dia pergi pun tak akan menang,” katanya kepada FMT.
Mat Sabu yang sebelum ini pernah menjadi ahli Parlimen mewakili Kedah dan Kelantan, hampir pasti akan bertanding di Kota Raja, yang pada PRU lalu dimenangi PAS melalui Dr Siti Mariah Mahmud, yang turut keluar PAS untuk bersama Amanah.
Amanah akan bertanding di 5 kerusi Parlimen, iaitu Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat.
Sallehen berkata PAS sudah mempunyai calon yang akan mempertahankan kerusi Kota Raja.
“Kita ambil orang tempatan dan tidak ada ambil calon pindah randah,” sindirnya.
Kali terakhir Mat Sabu dipilih sebagai ahli Parlimen ialah 1999, apabila beliau memenangi kerusi Kuala Kedah pada PRU yang menyaksikan prestasi pilihan raya terbaik PAS dan Umno kehilangan sokongan Melayu, susulan pemecatan dramatik Datuk Seri Anwar Ibrahim setahun sebelum itu.
Beliau kehilangan kerusi itu kepada Barisan Nasional pada 2004, dan gagal kembali ke Parlimen pada 2008.
Beberapa bulan kemudian, Mat Sabu kalah dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, yang dilihat sebagai cubaan PAS untuk memperkukuhkan kedudukan parti itu di Parlimen.
Bekas ahli Parlimen 3 penggal itu turut tewas kepada calon BN, Datuk Othman Abdul di kerusi Parlimen Pendang pada 2013.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14