Keluarga Prebet Adam mohon maaf kepada kerabat diraja Johor

Keluarga Prebet Adam mohon maaf kepada kerabat diraja Johor

Adik Prebet Adam, Hawa Jaafar berkata abangnya mengamuk di Chow Kit pada 1987 kerana masalah di tempat kerja, bukan kerana adik mereka yang didakwa dibunuh.

Free Malaysia Today
Hawa Jaafar (kiri) memegang gambar abangnya, Prebet Adam yang ditahan selepas mengamuk di Chow Kit pada 1987. Beliau ditemani adiknya, Arman dan kawannya, Datuk Hamidah Osman.
GEORGE TOWN:
Keluarga seorang bekas tentera yang mengamuk di Chow Kit pada 1987 hari ini memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret dalam insiden itu.

Hawa Jaafar, adik perempuan Prebet Adam Jaafar, menafikan abangnya melakukan tembakan rambang disebabkan adik mereka yang dikatakan seorang kedi, didakwa dibunuh Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

“Cerita itu tidak benar,” katanya sambil menambah punca sebenar abangnya mengamuk kerana menghadapi masalah di tempat kerja.

Permohonan maaf Hawa itu susulan cubaan beberapa pihak mengaitkan insiden amuk itu dengan kerabat diraja Johor.

Beliau berkata, keluarganya tiada kaitan dan tidak mengenali mahupun berjumpa dengan kerabat diraja Johor.

Katanya, mereka terpaksa menahan marah dan malu lebih 30 tahun kerana tidak menjelaskan realiti kepada pihak berkuasa dan orang ramai.

“Saya hanya mahu jelaskan satu perkara sahaja. Adik saya bukannya dibunuh. Kami benar-benar sedih apabila orang kata kami dibayar untuk menutup mulut, bahkan kami tidak membela adik yang dibunuh.

“Semua adik-beradik kami masih hidup, hanya seorang adik saya yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pada 1975,” katanya pada sidang media di rumah keluarganya. Turut hadir ialah adiknya, Arman dan Arina.

Adam ialah anak sulung, manakala Hawa ialah anak ke-2 daripada 9 beradik.

Sidang media itu bertujuan menjelaskan punca sebenar Adam mengamuk di ibu kota pada malam 18 Oktober 1987 dengan melepaskan tembakan rambang menggunakan senapang M16 yang terkena 2 orang awam, di mana salah seorangnya meninggal dunia.

Keesokannya, Chow Kit menjadi bandar “hantu” kerana tiada orang dibenarkan masuk ke kawasan itu. Polis menempatkan penembak untuk mengesan Adam, tetapi gagal.

Akhirnya, Adam dipujuk pihak atasannya untuk menyerah diri.

Hawa berkata, Adam yang kini berusia 53 tahun dipenjarakan atas kesalahan dadah – realiti yang beliau tidak mahu dedahkan, tetapi beliau terpaksa berbuat demikian kerana bimbang didakwa menyembunyikan abangnya.

“Dia berada di penjara Pulau Pinang selama 2 tahun. Dia dihukum penjara 5 tahun kerana menghisap dadah, dia pernah ditahan sebanyak 2 kali.

“Tengoklah, kami hidup dalam penderitaan selama 30 tahun dengan orang ramai membuat tuduhan palsu adik saya dibunuh.

“Seolah-olah tidak cukup dengan penderitaan Adam dalam pasukan tentera, dilayan dengan teruk dan tidak dapat jumpa pegawai atasan, dia satu-satunya orang yang menyara hidup keluarga kami dan kami kemudian dituduh dibayar untuk menutup mulut. Ini semua penipuan.”

Katanya, jika benar keluarganya dibayar untuk mendiamkan diri, mereka akan hidup mewah sekarang, bukannya tinggal di flat sempit.

Ditanya jika isu adiknya dibunuh pernah dibangkitkan dalam prosiding mahkamah selama 3 tahun, Hawa yang sudah bersara berkata, adik-beradik perempuannya diminta keluar dari mahkamah kerana Adam ingin bercerita mengenai masalah dalaman keluarga itu.

“Hanya arwah ibu bapa kami yang hadir di dalam mahkamah. Mereka kemudian memberitahu kami, Adam diseksa secara fizikal, mental dan seksual (ketika berada dalam tentera).”

Hawa menggesa semua pihak berhenti membuat tuduhan palsu yang banyak menyusahkan keluarganya, terutama ibu bapanya.

“Insiden ini mesti dikaji semula. Tuduhan itu perlu dihentikan. Orang ramai perlu berhenti menyebarkan penipuan ini. Adakah anda tidak malu langsung?” soalnya.

Mitos ‘sultan bunuh’ dan insiden amukan Chow Kit 1987 disorot kembali

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.