Jaips dakwa Perlis Hope sebar Syiah, kebencian di Facebook

Jaips dakwa Perlis Hope sebar Syiah, kebencian di Facebook

Pengarah Jaips, Hazman Hassan berkata, pihaknya mengeluarkan satu surat kepada Jabatan Pendidikan Perlis pada 21 September 2016 untuk menyekat penyebaran ajaran Syiah.

KUALA LUMPUR:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) mengambil tindakan terhadap Perlis Hope kerana mendakwa badan bukan kerajaan (NGO) itu mempromosikan Syiah dan kebencian melalui Facebooknya.

Pengarah Jaips, Hazman Hassan berkata, pihaknya mengeluarkan satu surat kepada Jabatan Pendidikan Perlis pada 21 September 2016 untuk menyekat penyebaran ajaran Syiah.

“(Saya) hantar ke Jabatan Pendidikan Negeri sebab ada dengar khabar (Perlis Hope) nak masuk ke sekolah dengan alasan nak beri baju sekolah.

“Sebelum perkara itu berlaku, (Jaips) bagi tahu (sekolah),” katanya kepada panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat, yang masuk hari ke-7.

Amri ialah pengasas Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016.

Kehilangan misterinya dan 3 yang lain, Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth menjadi subjek inkuiri Suhakam.

Hazman menunjukkan surat Jaips yang ditandatanganinya kepada Jabatan Pendidikan Perlis pada 21 September 2016 dalam inkuiri Suhakam hari ini. Surat itu antara lain menyatakan siasatan pihaknya mendapati NGO itu cenderung kepada Syiah dengan bertopengkan aktiviti berunsur kebajikan.

“Secara peribadi saya buka satu persatu ‘posting’ (Facebook) itu. Misalnya ada satu ‘posting’ tak tahu wujud atau tidak lagi, dia kata sedekah ini dapat mengelakkan bala pada hari-hari sial.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah tiada hari sial. Semua hari adalah baik. Apa sahaja Allah tetapkan berlaku kepada kita, semuanya baik.”

Beliau turut mendakwa Perlis Hope menyebarkan kebencian melalui Facebook kerana kerap memuat naik aktiviti kebajikannya, menyebabkan agensi kerajaan negeri bertanggungjawab menjaga golongan miskin, kelihatan seperti tidak melakukan tugas mereka.

“Apa yang mereka tolong itu, kuantiti mereka buat itu, sudah dibuat oleh pihak lain, NGO lain.

“Macam-macam jabatan telah memberi sumbangan. Cuma cara mereka ‘highlight’ seolah-olah mereka di puncak kebajikan,” katanya.

Inkuiri Suhakam membabitkan Amri akan bersambung semula pada 15 Mei dan Inspektor Khor Yi Shuen akan dipanggil semula memberi keterangan.

Asri akui tiada waran hadir rumah Amri bersama polis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.