
Beliau yang juga pengerusi badan perhubungan BN negeri itu berkata buat masa ini, kemenangan besar parti pada PRU14 lebih menjadi keutamaan berbanding kehendak peribadi.
“Setakat hari ini saya masih pengerusi perhubungan negeri, apa pun berlaku saya memegang amanah diletakkan pada bahu saya ketika ini.
“Sebagai pengerusi perhubungan negeri, ketua menteri dan pengarah PRU BN Melaka, tanggungjawab saya ialah memastikan kemenangan BN pada PRU14,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kira-kira 58 ketua cawangan Umno Tangga Batu tengah malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukannya sama ada untuk bertanding pada kerusi dewan undangan negeri atau parlimen pada PRU14 ini.
Mengulas lanjut, Idris yang juga ketua Umno Tangga Batu berkata pemimpin pada semua peringkat termasuk akar umbi, diminta memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi BN.
“Saya juga minta semua supaya berlapang dada dan memberi tumpuan untuk membantu kemenangan calon yang dipilih pada PRU14 nanti,” katanya.
Beliau berkata selain itu, ketua cawangan juga digesa mengelak terlibat dengan perbuatan sabotaj atau ”cah keting” pada semua peringkat struktur parti kerana ia bukan saja merosakkan imej parti, tetapi menggugat kemenangan besar untuk BN.
“Saya yakin Umno punca segala kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang kepada BN serta segalanya perlu ditangani secara bersama dan tuntas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata manifesto BN Melaka yang akan dibentangkan esok bakal membawa pelbagai impak besar dalam semua aspek dan peringkat masyarakat untuk tempoh 5 tahun akan datang.
Idris berkata antaranya ialah kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baru bakal menanti penduduk negeri dengan jumlah pelaburan melebihi RM30 bilion.
Katanya keluaran dalam negara kasar juga dijangka meningkat antara 10-25% menerusi pelbagai pembangunan awam dan swasta di negeri itu dalam tempoh tersebut.
“Manifesto ini bertemakan ‘Bersama Mencipta Kegemilangan’ dan ia mengambil masa lebih 6 bulan untuk disiapkan serta mengambil kira pelbagai perkara yang akan memberi manfaat cukup besar untuk rakyat Melaka,” katanya.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14