Asri akui tiada waran hadir rumah Amri bersama polis

Asri akui tiada waran hadir rumah Amri bersama polis

Mufti Perlis berkata waran tidak perlu kerana kehadirannya di rumah Amri bukan untuk menggeledah.

KUALA LUMPUR:
Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengakui tidak ada waran khas untuk masuk ke rumah aktivis yang hilang Amri Che Mat.

Beliau berkata, pihaknya bersama polis hadir ke rumah Amri pada 21 Oktober 2015 untuk mengetahui tempat yang didakwa menyebarkan ajaran Syiah seperti aduan yang sampai kepadanya.

“Nak lihat perkara yang disebut (sama ada) itu benar atau tidak benar.

“Kita tak pernah pecah masuk (rumah Amri) dan kita melihat dengan cara baik,” katanya pada siasatan inkuiri yang dijalankan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membabitkan Amri yang masuk hari ketujuh hari ini.

Amri yang merupakan pengasas Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Kehilangan misterinya dan 3 yang lain, Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth menjadi subjek inkuiri yang dijalankan oleh Suhakam.

Mengulas lanjut, Asri turut menyatakan mereka hadir ke rumah Amri bukan untuk melakukan serbuan yang memerlukan satu kuasa khusus.

“Kita minta izin nak tengok (gambar dalam rumah). Dia dah buka pintu itu, kita tak ambil barang dia,” katanya.

Asri menambah, sekiranya isteri Amri tidak membenarkan mereka memasuki rumah, beliau dan pegawainya akan pulang “sebab kita tak ada waran”, katanya merujuk Norhayati Ariffin.

Menurut Asri, beliau hadir ke rumah Amri selepas mendapat aduan daripada penduduk bahawa berlakunya penyebaran ajarah Syiah di rumah berkenaan.

“Aduan ini sekitar September hingga Oktober 2015. ‘Mufti tak ambil tindakan ke apa’, dan (aduan) bertalu-talu, lama-lama dah banyak,” katanya.

Asri sebelum ini menyerang Amri kerana mengamalkan ajaran Syiah, yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Malaysia.

Beliau turut menyifatkan ajaran Syiah sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.

“Saya menentang apa-apa pemikiran ekstremis untuk mewujudkan negara agama yang ekstremis, negara mullah,” kata Asri kepada FMT awal tahun ini.

Ia selepas isteri Asri, Norhayati ketika disoal di inkuri Suhakam pada Januari lalu, menamakan Jabatan Mufti Negeri dan pihak berkuasa Islam antara yang beliau syaki terlibat dalam kehilangan suaminya.

 

Asri serang Amri, kata Syiah ancam ‘keselamatan negara’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.