
Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Anwar dan keluarga terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman berhubung hak Anwar untuk bersentuhan fizikal dengan ahli keluarganya.
Penal 3 hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Suraya Othman memutuskan rayuan yang dikemukakan Anwar dan 9 lagi perayu tidak mempunyai merit.
Ahmadi berkata surat oleh pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac 2016 dalam menolak permintaan Anwar dan keluarga bagi sentuhan fizikal ketika lawatan adalah munasabah kerana ini tidak bertentangan dengan peraturan penjara.
“Surat tersebut menyatakan permintaan itu akan dipertimbangkan berasaskan kes demi kes. Justeru ini bukan tidak munasabah dan bukan tidak setimpal. Kami berpendapat rayuan oleh para perayu tidak mempunyai merit. Kami menolak rayuan tanpa sebarang kos,” kata Ahmadi.
Ahli penal membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam N Surendran bagi pihak perayu dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang bertindak untuk pengarah Penjara Sungai Buloh, ketua pesuruhjaya penjara dan menteri Dalam Negeri yang merupakan responden.
Selain Anwar,70, perayu lain terdiri daripada isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, dan 4 anak perempuannya, Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 34, Nurul Ilham, 30, and Nurul Iman, 27.
Turut merayu anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 11, dan Raja Ahmad Harith, 9; dan anak Nurul Nuha, Sulaimaan Mohamad Khairul dan Yahya, yang masing-masing berumur 6 dan 5 tahun.
Mereka memohon perintah supaya mahkamah membatalkan keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh pada 14 Mac 2016 yang tidak membenarkan Anwar bersentuhan dengan ahli keluarga ketika melawatnya di penjara.
Mereka mendakwa ketika pertemuan, mereka dipisahkan oleh skrin kaca dan hanya boleh bercakap antara satu sama lain menerusi telefon.
Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun setelah didapati bersalah meliwat bekas pegawainya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dibenarkan menerima pelawat sekali dalam tempoh 3 minggu. Anwar di jangka dibebaskan dari penjara pada 8 Jun 2018.
Dalam surat bertarikh 2 Mac 2016 yang dihantar melalui peguamcaranya kepada ketiga-tiga responden, Anwar memohon supaya dibenarkan bersentuhan dengan ahli keluarga yang melawatnya tetapi ditolak pengarah Penjara Sungai Buloh dalam surat bertarikh 14 Mac 2016.