
“Saya telah berbincang dengan penasihat undang-undang negeri apakah langkah yang boleh diambil mengikut perlembagaan untuk membolehkan rakyat di negeri Selangor ini keluar mengundi secara teratur dan dipermudahkan urusan.
“Saya melihat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.
Semalam, SPR mengumumkan 28 April sebagai hari penamaan calon dan 9 Mei sebagai hari mengundi.
Azmin berkata, pertimbangan itu dibuat berdasarkan rungutan orang awam dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
“Kita melihat komen orang awam dan Cuepacs hari ini menyatakan ini adalah tindakan yang tidak adil kerana menafikan hak rakyat untuk mengundi.
“Jadi, perkara ini saya perlu teliti terlebih dahulu dari segi peruntukan perlembagaan sebelum kita membuat pengumuman seterusnya,”
Semalam, Cuepacs dan MTUC menggesa kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum memandangkan SPR memilih hari bekerja sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda dilaporkan berkata peluang sama harus diberikan kepada pekerja sektor awam dan swasta untuk keluar mengundi pada 9 Mei.
“Cuti ‘ad hoc’ untuk kakitangan awam sahaja tidak mencukupi kerana pekerja di sektor swasta juga perlu keluar mengundi.
“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini. Ini akan membolehkan semua pekerja dan majikan yang mendaftar sebagai pengundi memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14.