
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus menurunkan calon dari Parti Bersatu Sabah (PBS) di kerusi itu.
“Saya telah merujuk kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan perkara yang dinyatakan berkaitan ‘peminjaman’ kerusi tersebut sekadar cadangan pihak tertentu sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa tempat lain.”
Musa berkata, kedudukan dan peranan yang dimainkan setiap parti dalam BN perlu dihormati dan diiktiraf.
“Inilah pendirian BN Sabah dan inilah juga pegangan saya dalam memimpin Umno Sabah,” katanya.
Matunggong ialah kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Kota Marudu yang terletak kira-kira 135km dari sini. Ia mempunyai kira-kira 21,000 pengundi.
Ahad lalu, Zahid meminta PBS “meminjam” kerusi itu kepada Umno supaya BN boleh merampas kembali Matunggong yang dimenangi Datuk Jelani Hamdan atas tiket PKR pada PRU13.
Jelani kemudiannya meninggalkan PKR dan kini dilihat mesra BN, walaupun beliau belum menyertai mana-mana parti.
Timbalan perdana menteri berkata, parti pemerintah berharap dapat mempertahankan Kota Marudu dengan majoriti lebih besar dan Jelani akan membantu BN mencapai kemenangan di Matunggong.
Kenyataan Zahid mencetuskan kekecohan di kalangan pemimpin PBS dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Maximus Ongkili membidas cadangan itu di media sosial.
“Cadangan ini sememangnya tidak boleh diterima oleh Parti Bersatu Sabah kerana dari dahulu, kawasan Matunggong merupakan kerusi PBS,” kata menteri tenaga, teknologi hijau dan air itu di Facebooknya.
Parti Cinta Sabah menyokong PBS dalam perkara itu dengan berkata, kenyataan Zahid ialah penghinaan kepada Ongkili dan masyarakat Rungus yang merupakan majoriti pengundi di Matunggong.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14.