
Di samping itu, lantikan syarikat juga mengikut prosedur yang ditetapkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), agensi pusat yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras projek penswastaan dan kerjasama awam-swasta.
Kementah berkata demikian dalam satu kenyataan untuk menjelaskan persoalan yang dibangkitkan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz mengenai pemindahan milik tanah kementerian kepada syarikat swasta.
“Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz kononnya terdapat sebuah syarikat yang terdiri daripada 3 individu yang mengawal pelaksanaan projek-projek mengikut kaedah ‘land swapping’ oleh Kementah adalah tidak benar.
“Selain itu, dakwaan beliau kononnya, keseluruhan tanah persekutuan yang digunakan oleh Kementah dipindahmilik kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh 3 individu ini juga adalah tidak benar,” menurut kenyataan itu.
Bekas menteri perdanganan itu sebelum ini mendakwa kira-kira 40,000 hektar tanah diswastakan tanpa tender terbuka di bawah rancangan yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada 2008, yang merupakan menteri pertahanan pada masa itu.
Rafidah antara lain berkata Najib turut mencadangkan penswastaan itu diberi secara terus kepada satu syarikat milik 3 individu, 2 lelaki dan seorang wanita, dengan tempoh pajakan selama 40 tahun, tanpa tender terbuka atau meminta sebut harga.
Katanya, beliau satu-satunya menteri yang mempersoalkan cadangan itu di mesyuarat Kabinet, antaranya mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak dipilih untuk cadangan penswastaan itu.
Kementah hari ini bagaimanapun menjelaskan pelaksanaan projek melibatkan aset tentera bukan proses mudah.
Menurut kenyataan, pelaksanaan projek kementerian melalui kaedah pertukaran tanah (land swap) merupakan mekanisme yang digunapakai dalam rangka model kerjasama awam-swasta yang diselaraskan UKAS.
Setiap projek pembangunan itu perlu dibincangkan di peringkat jawatankuasa kementerian, UKAS dan jemaah menteri untuk mendapatkan kelulusan prinsip, dan kemudian perlu mendapat perakuan daripada UKAS dan Jawatankuasa Tertinggi Awam Swasta yang dipengerusikan ketua setiausaha negara.
“Proses ini melalui pelbagai peringkat dan saringan sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diteliti satu persatu sebelum kelulusan perlaksanaan,” kata Kementah.
Di samping itu, tanah-tanah yang terlibat dengan kaedah pertukaran tanah hanya dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada tentera darat, laut atau udara.
“Pertimbangan penempatan kem-kem mengambil kira lokasi strategik, keselamatan kem, kesesuaian dengan tugas-tugas operasi serta keselamatan penduduk sekitar.”
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14