Dr M minta maaf kerana perkataan ‘Keling’

Dr M minta maaf kerana perkataan ‘Keling’

Calon perdana menteri berkata beliau tidak berniat menghina kaum India.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf kepada masyarakat India kerana menggunakan perkataan “Keling”, selepas beliau menggunakan penghinaan berunsur perkauman itu untuk mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) berkata beliau tidak berniat menyinggung kaum India.

“Semasa saya kecil, kita menggunakan perkataan itu tetapi sekarang ia dianggap sebagai menghina. Jadi saya meminta maaf jika menyebabkan masalah kepada mereka,” katanya pada sidang media mesyuarat majlis presiden PH di ibu pejabat PPBM hari ini.

Dr Mahathir melontarkan perkataan itu pada satu majlis kutipan dana di Muar, Johor pada 7 April, apabila beliau mempersoalkan kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang dilaporkan berkata parti-parti pembangkang mesti mendapatkan kebenaran untuk menggunakan logo bersama pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya mahu gunakan perkataan ‘keling’. Orang ‘keling’ cakap ‘podah’,” katanya ketika itu.

Bekas perdana menteri itu kemudian mempertahankan penggunaan perkataan itu dengan mengatakan ia bukan untuk menghina mana-mana pihak.

“Itu bahasa kita dan di kalangan kita, kita gunakan perkataan keling sejak saya kecil lagi. Tak ada masalah, kawan-kawan keling saya tak pernah marah saya, pasal apa MIC nak marah?” soalnya.

Peguam terkenal Datuk Ambiga Sreenevasan bagaimanapun menegur pengerusi PH itu dan mahu beliau berhenti menggunakan perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India.

Beliau mengambil maklum perkataan itu tidak dianggap menghina di beberapa negeri di Malaysia namun ia tidak boleh diterima dalam konteks hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir hari ini juga menafikan bahawa beliau menggambarkan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai pemalas.

“Itu Utusan yang kata, bukan saya” katanya, menjawab kritikan daripada beberapa pemimpin dari 2 negeri itu berhubung komen di satu forum awal bulan ini.

Bekas perdana menteri itu berkata sama sekali tidak masuk akal jika beliau bercakap seperti itu apabila mahu meraih sokongan mereka.

“Yang saya kata ialah pemimpin khususnya di Sabah amat tamak. Itu menyebabkan mereka mencuri duit daripada kerajaan,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Dr M: Saya panggil kawan saya ‘keling’, apa masalahnya?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.