
Beliau berkata, hakikatnya tsunami Melayu tidak wujud dan masyarakat Melayu masih menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Berdasarkan kajian secara mendalam yang dibuat Umno dan BN mendapati sebahagian besar pengundi Melayu masih bersama Umno dan BN,” katanya selepas melancarkan Briged Gempur 2314 Pemuda BN Pulau Pinang di Kubang Menerong hari ini.
Badan pemikir pembangkang, Invoke, baru-baru ini meramalkan Kedah, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang berikutan tsunami Melayu.
Pengarah Invoke, Rafizi Ramli ketika membentangkan kaji selidik ke atas 2,000 responden pada forum “GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?” di Kuala Lumpur berkata, kaji selidik itu mendapati sokongan orang Melayu terhadap BN menurun kepada 28% bulan lepas berbanding 41% pada Disember lepas.
Sementara itu, mengenai langkah PH menggunakan logo PKR pada PRU14, Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata, ia jelas menunjukkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup mengetepikan perjuangan asalnya menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kesanggupan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau melupakan perjuangannya yang tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri.
“Ini satu keputusan yang saya rasa orang pun boleh nilai, bendera PKR wujud untuk menentang Dr Mahathir dan kini akhirnya beliau (Mahathir) sanggup ketepikan prinsip perjuangan asal untuk menentang Anwar dan bertanding di bawah panji Reformasi semata-mata kerana hendak berkuasa.”
Dr Mahathir dalam program di Johor malam tadi mengumumkan PH akan menggunakan logo PKR untuk bertanding pada PRU14.
Penggunaan logo bagi 4 parti, iaitu DAP, PKR, Amanah dan PPBM dibuat selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM.