
Beliau berkata, jumlah itu sebagai tambahan kepada 1,500 penempatan yang diluluskan kerajaan sebelum ini bagi memberi lebih banyak peluang kepada kaum tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Usaha itu juga bagi mencapai 7% pelajar kaum itu melanjutkan pengajian ke universiti awam. Inilah harapan saya dan ia bukanlah sekadar janji kosong, tetapi janji yang akan dikotakan,” katanya semasa berucap melancarkan Skim Pelaburan Khas Masyarakat India (SPKMI) B40 hari ini.
Katanya, disebabkan sistem meritokrasi yang diperkenalkan seorang pemimpin sebelum ini, kemasukan pelajar India menurun daripada 7% kepada 4%.
“Jadi, saya terpaksa mencari jalan untuk memastikan semua kaum mendapat peluang sama dan tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan kerana meritokrasi menyebabkan kaum India menjadi ‘the biggest loser’.”
Najib berkata, apa yang dilakukan kerajaan pimpinannya selama ini bukanlah semata-mata kerana pilihan raya, sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan dan lebih banyak lagi akan dapat dilakukan jika BN terus diberikan kepercayaan mentadbir.
Selain itu, katanya, tumpuan kerajaan pimpinannya merangkumi segala aspek bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi juga kemampuan untuk kaum India menabung demi masa depan lebih baik.
Justeru, beliau berharap kaum India akan menggunakan peluang untuk melabur menerusi SPKMI B40 yang disediakan kerajaan.
“Saya sarankan serta berharap masyarakat India B40 mengambil peluang itu kerana ia boleh menambahkan aset mereka.”
Pada 19 Januari lepas, perdana menteri mengumumkan tambahan 1.5 bilion unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) di bawah SPKMI B40, sehingga had maksimum 30,000 unit setiap pelabur.
Setiap ketua isi rumah juga ditawarkan pembiayaan khas berjumlah RM5,000 untuk tujuan melabur dalam AS1M. Ia menyasarkan 100,000 isi rumah B40 masyarakat India bagi tempoh 5 tahun dengan peruntukan dana berjumlah RM500 juta.